Penerbitan Persatuan Sejarah Malaysia
Aktiviti yang paling besar dan menyebabkan PSM terkenal di dalam dan di luar negara ialah penerbitan. Bermula tahun 1954 jurnal sulung The Malayan Historical Journal diterbitkan di bawah pengarang J.C. Bottoms. Mubin Sheppard kemudian menghasilkan jurnal dengan nama baru Malaya In History selama 15 tahun hingga April 1972. Zainal Abidin Wahid menghasilkan versi bahasa Melayu, Malaysia Dari Segi Sejarah. Khoo Kay Kim menerajui sidang redaksi dari 1978 hingga 1989, digantikan oleh Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. Bermula 1998 Abdullah Zakaria @ Ghazali menggalas tugas sebagai editor.
Penerbitan ini memperkenalkan sejarah dan kebudayaan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas dan mendapat sambutan orang awam, mahasiswa, pengkaji dan institusi pengajian tinggi. Indeks penyumbang dan mauduk 1954–1979 diusahakan oleh J. Chandran pada tahun 1979. Antara penyumbang awal ialah Mahmud Mat, Roland Braddel, Prof. Parkinson, Prof. Tregoning, Wang Gungwu, Shahrom Hussein dan Yap Ah Koon. Penyumbang paling aktif termasuk Mubin Sheppard dan Khoo Kay Kim.
PSM juga menghasilkan buku dan monograf antaranya Historia, Lembaran Akhbar Melayu, Changi The Lost Years, Tun Hamdan Guru Sepanjang Hayat, Sejarah dan Pembinaan Negara-Bangsa, Tamadun Alam Melayu, Abdullah Samsudin: Panglima Melayu Terbilang, Duri Dalam Daging, Dari River Kwai ke Sungai Temboh dan Tamadun Melayu Cam.
Cawangan negeri menerbitkan jurnal masing-masing: Setanggi (Wilayah Persekutuan), Kedah Dari Segi Sejarah, Melawati (Selangor), Misa Perak, Sawaktu (Sarawak), Warisan (Negeri Sembilan) dan Melaka Dari Segi Sejarah. Cawangan juga menerbitkan karya sendiri seperti Sejarah Darul Iman dan biografi Tun Haji Ahmad Zaidi Adruce, Yang Dikehendaki.
