Penubuhan Persatuan Sejarah Malaysia
Sebelum Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1953 sudah wujud beberapa organisasi yang bergerak secara sukarela di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Yang paling tua ialah The Malayan Branch Royal Asiatic Society yang jika dikaitkan dengan Straits Branch of Royal Asiatic Society telah ditubuhkan pada tahun 1878. Jurnalnya, The Journal of the Malaysia Branch of Royal Asiatic Society (JMBRAS), sudah terkenal ke seluruh dunia.
Di peringkat negeri, Muzium Sarawak bergerak aktif dalam kerja kemuziuman dan arkeologi. Di Sabah, The Sabah Historical Society ditubuhkan pada tahun 1960. Persatuan sejarah yang paling awal ialah The Malacca Historical Society (kira-kira 1930) dan The Penang Historical Society pada waktu yang sama. Di Universiti Malaya, Singapura, Historical Society sudah wujud pada awal 50-an. The Historical Society, Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar menghasilkan majalah The Gate di bawah pimpinan Cikgu Radzi Puteh. History Teachers Association (HITAM) wujud pada tahun 1964 tetapi penerbitannya Peninjau Sejarah lenyap awal 70-an.
Hasrat untuk menubuhkan PSM di taraf nasional tersimpul dalam surat Datuk E.E.C. Thuraisingam, Ahli Pendidikan dan salah seorang pengasas PSM. Beliau menulis bahawa perlu ditubuhkan sebuah badan pusat yang akan menggalakkan rakyat dari semua kaum berminat dalam kebudayaan dan sejarah Malaya, merangsangkan penubuhan persatuan sejarah tempatan dan memberi sokongan kepada persatuan sedia wujud.
Hasrat yang paling jelas terkandung dalam ucapan Pesuruhjaya Tinggi, General Sir Gerald Templer semasa perasmian di Town Hall, Kuala Lumpur pada 30 April 1953. Antara yang ditekankan ialah usaha menggembleng semua bangsa di Malaya menjadi satu rupa bangsa, dan bahawa sesuatu bangsa yang tidak dapat menoleh ke belakang dengan bangga tidak mungkin dapat mara ke hadapan dengan yakin. Beliau menyebut: “This is not a Society for the Government, for the educated, or for any class or section of the populations, it is for everybody, and everybody has something to contribute to it.”
Dalam ucapan Datuk Mahmood bin Mat, Yang Dipertua pertama PSM, beliau berharap PSM mengabdi diri kepada rakyat biasa di kampung-kampung. Teras perjuangan PSM ialah “memasyarakatkan sejarah”. Penubuhan PSM di tengah zaman darurat juga dilihat sebagai strategi “winning the hearts and minds” rakyat.
PSM dilahirkan pada 30 April 1953, dirasmikan oleh Sir Gerald Templer dan disaksikan oleh Sultan Pahang, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Kedah, Sultan Terengganu, Tengku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Perak, Wakil Raja Perlis serta Datuk Onn Jaafar, Datuk Thuraisingam, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Tan Cheng Loke, Datuk Mahmud Mat, Encik Mustapha Al-Bakri, Prof. C.N. Parkinson, Tuan Za’ba dan L.D. Whitfield.
Majlis pertama: Yang Dipertua Dato’ Mahmud bin Mat; Naib Yang Dipertua Dato’ E.E.C. Thuraisingam, Dato’ Nik Ahmad Kamil dan Dato’ Sir Cheng Lok Tan. Ahli Majlis termasuk M.C. ff. Sheppard, Mustapha Al-Bakri, L. Whitfield, H.H. Beamish, Dato’ F.W. Douglas, Haji Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba), Ng Seo Buck, Rev. Yeh Hua Fen, G. Hawkins, K. Ramanathan, S. Thuraisingam, J.C. Bottoms dan Mohd Mohideen. Setiausaha Kehormat J.C. Loch; Bendahari Kehormat Yong Pun How.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Penaung PSM dari 1964 hingga 1996. Tun Abdul Razak Hussein menyandang jawatan Presiden paling lama (1958–1971). Sejak 1996, Tun Dr. Mahathir Mohamed dilantik sebagai Penaung PSM.
Kini PSM mempunyai 14 Cawangan negeri: Perak (1955), Kedah (1957), Negeri Sembilan (1959), Selangor (1962), Pahang (1962), Perlis (1968), Johor (1969), Terengganu (1971), Melaka (1971), Pulau Pinang (1971), Kelantan (1972), Sarawak (1972), Sabah (1973) dan Wilayah Persekutuan (1980).
Aktiviti PSM merangkumi seminar dan persidangan, esei dan perdebatan, kuiz, pameran, lawatan dalam dan luar negara, serta memperakukan peninggalan bangunan bersejarah. Batu peringatan dibina di Kota Lukut, Makam Bendahara Abdul Jalil di Kota Tinggi, Makam Sultan Alauddin di Pagoh, Kota Kuala Kedah, Kota Raja Mahadi di Klang, Kota Cornwallis, Makam Almarhum Kayang di Perlis, Kota Tanjung Keramat dan Kota Melawati.
Pada peringkat awal ibu pejabat PSM ditempatkan di Muzium Negara, kemudian Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 1976 kerajaan memberikan rumah di 958 Jalan Hose, dirasmikan oleh Tun Hussein Onn pada 31 Ogos 1976. Pada 1 Disember 2003 ibu pejabat berpindah ke Wisma Sejarah, 230 Jalan Tun Razak.
Tun Hussein Onn merasmikan ibu pejabat PSM di 958 Jalan Hose, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1976.
